Residen British Perang_Kelang

Sementara itu, Negeri-Negeri Selat mula bergantung kepada kemakmuran ekonomi negeri Selangor. Selangor pada ketika itu merupakan salah satu negeri di Tanah Melayu yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Akan tetapi, Perang Kelang membantutkan usaha untuk melombong bahan mentah tersebut. Oleh itu, British di Negeri-negeri Selat mahu membantu kerajaan Selangor memastikan bekalan bijih timah tidak tergendala. Pada masa yang sama, Tengku Kudin mempunyai hubungan rapat dengan British di Negeri-negeri Selat. Hubungan ini memberikan pihak British satu peluang untuk mempergunakan hubungan ini untuk mempengaruhi sultan Selangor. Hal ini menyebabkan British secara tidak langsung memihak kepada Tengku Kudin dalam peperangan ini.

Keadaan berubah pada bulan November 1873 apabila sebuah kapal dari Pulau Pinang diserang lanun berhampiran perairan Hulu Langat. Sultan mula bimbang dengan keselamatan negeri dan meminta Sir Andrew Clarke untuk membantu. Dengan permintaan itu, Andrew Clarke melantik seorang peguam dari Singapura bernama J.G. Davidson sebagai Residen British Selangor yang pertama. Beliau diterima baik oleh pembesar Selangor kerana beliau merupakan sahabat karib Tengku Kudin. Tugas residen bertanggungjawab untuk menasihati sultan dalam segala perkara kecuali hal-hal mengenai Islam dan adat resam Melayu.

Perang Kelang tamat dengan rasminya pada tahun 1874. Keadaan ini telah memaksa Raja Mahadi melarikan diri keluar dari Selangor dan menetap di Johor. Beliau meninggal dunia di sana dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru.